JEDDAH, 13 Oktober - Ketua jurulatih Indonesia, Patrick Kluivert meluahkan kekecewaannya selepas pasukan bimbingannya tersingkir daripada kempen kelayakan Piala Dunia 2026 susulan kekalahan tipis 0–1 kepada Iraq, Sabtu lepas.
Gol tunggal perlawanan jaringan Zidane Iqbal pada minit ke-76 memberikan tiga mata berharga kepada Iraq.
Kekalahan itu turut meranapkan peluang skuad Garuda untuk mara ke pusingan seterusnya.
Kekalahan itu juga merupakan kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 2–3 kepada Arab Saudi sebelum ini.
“Saya rasa jika dilihat keseluruhan perlawanan, kami sebenarnya bermain jauh lebih baik,” kata Kluivert.
“Saya sangat kecewa dengan keputusan ini, bukan hanya saya tetapi seluruh negara termasuk para pemain dan staf.
“Kami bekerja keras dengan bermain menentang Arab Saudi dan tiga hari kemudian menentang Iraq.
"Itu satu pemulihan yang luar biasa untuk menghadapi perlawanan sukar. Kami bermain dengan semangat luar biasa.
“Saya sangat bangga dengan pemain-pemain saya yang menunjukkan keberanian mereka.
"Tetapi malangnya keputusan sekali lagi tidak memihak kepada kami walaupun mencipta banyak peluang dan bermain bola sepak yang baik. Hanya satu kesilapan menyebabkan kami tewas. Kami benar-benar kecewa,” katanya.
Kekalahan itu menamatkan harapan Indonesia untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak kemerdekaan negara itu daripada Belanda pada 1949.
Namun, kemaraan mereka ke pusingan keempat kelayakan Asia dianggap pencapaian terbaik dalam sejarah bola sepak negara tersebut.
Kluivert turut menolak dakwaan bahawa kekalahan itu berpunca daripada kurangnya pengalaman yang dimiliki para pemainnya.
Kluivert berkata pasukannya membuktikan kemampuan mereka menentang lawan yang jauh lebih berpengalaman.
“Mereka tidak terlalu muda. Cara mereka bermain menentang Arab Saudi dan Iraq, pasukan yang berada di ranking ke-58 dan ke-59 dunia.
"Sedangkan kami di tangga ke-118, adalah sesuatu yang membanggakan.
“Sebagai ketua jurulatih, saya amat berbangga dengan mereka.
Mereka bermain dengan hati dan semangat yang besar, cuma nasib tidak menyebelahi kami apabila peluang tidak disempurnakan,” tambahnya. - REUTERS