KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengekalkan sasaran menarik 200,000 penonton bagi menyaksikan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia 2025 pada 24 hingga 26 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif berkata, beliau optimis dengan sasaran tersebut sekali gus melepasi angka 184,923 yang direkodkan tahun lalu, susulan 75 peratus tiket telah terjual setakat ini.
“Sasaran 200,000 penonton agak mencabar, namun dengan sokongan semua pihak, kami yakin ia dapat direalisasikan,” katanya pada majlis pelancaran GP Malaysia 2025 di ibu negara.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Azhan Shafriman turut memaklumkan bahawa RM1 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong pembangunan atlet tempatan.
Bagi menarik lebih ramai pengunjung, SIC menawarkan promosi beli satu percuma satu bagi tiket GP Rahmah Malaysia berharga RM49.90, bermula 12 tengah hari tadi hingga 8 malam esok.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan, perkembangan trend penyertaan dan minat golongan wanita terhadap sukan permotoran ketika ini sebagai satu petanda positif.
“Sekarang ini kita lihat dalam sukan perlumbaan motor, bukan sahaja golongan lelaki berminat tetapi perempuan juga berminat.
"Ini trend yang baik dan saya harap mereka menggunakan peluang ini untuk datang menyaksikannya.
"Setiap kali selepas penganjuran, kita akan minta kajian impak kerana kita tahu sukan ini memberi kesan yang baik kepada ekonomi negara," katanya.