LONDON 13 Ogos- Pemain sayap Manchester City, Jack Grealish menyertai Everton secara pinjaman untuk musim 2025-2026 dalam usaha menyelamatkan kariernya yang bermasalah.
Grealish tidak disenangi Pengurus City, Pep Guardiola musim lalu dan hanya membuat tujuh penampilan bersama Citizen dalam Liga Perdana.
Pemain berusia 29 tahun itu diketepikan daripada skuad City untuk Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat dan ini petunjuk jelas bahawa dia tidak lagi diperlukan Guardiola.
Menerusi perjanjian dengan Everton, Grealish dilaporkan akan memperoleh pendapatan £300,000 ($402,000) seminggu.
"Saya sangat gembira untuk menandatangani Everton. Jujurnya, ia adalah kelab yang hebat, dengan peminat yang hebat," kata Grealish.
Grealish telah memilih jersi nombor 18 di Everton sebagai penghormatan kepada Wayne Rooney dan Paul Gascoigne, yang memakainya semasa mereka bersama kelab berkenaan.
"Dua pemain Inggeris kegemaran saya ialah Wayne Rooney dan Paul Gascoigne dan saya tahu mereka berdua memakai nombor 18 di sini," katanya.
Grealish menyertai City dari Aston Villa pada 2021 dengan yuran memecah rekod British ketika itu sebanyak £100 juta.
Pemain antarabangsa England itu telah memenangi tiga gelaran Liga Perdana, Liga Juara Eropah dan Piala FA bersama City.
Namun, prestasinya menurun dengan ketara.
Dia juga diketepikan daripada skuad Euro 2024 England. -AFP