LOMBOK, 4 Oktober - Pelumba Itali, Marco Bezzecchi, muncul juara dalam perlumbaan pecut penuh mendebarkan di Grand Prix Indonesia hari ini.
Bezzecchi, di petak pertama, mengalami permulaan mengecewakan apabila jatuh ke tempat keenam sebaik lampu hijau menyala dalam keadaan lembap di Litar Mandalika, pulau peranginan Lombok.
Namun pelumba Aprilia itu bangkit cemerlang untuk memintas pelumba muda Sepanyol, Fermin Aldeguer, di penghujung perlumbaan.
Aldeguer menamatkan saingan di tempat kedua, hanya 0.157 saat di belakang, sekali gus terlepas peluang untuk menjadi pemenang perlumbaan pecut termuda dalam sejarah MotoGP.
Raul Fernandez pula menamatkan saingan di tempat ketiga, diikuti Alex Marquez, Joan Mir, dan Luca Marini di kedudukan berikutnya.
Juara dunia baharu Marc Marquez pula terus mencipta sejarah dengan merekodkan jumlah mata tertinggi dalam semusim MotoGP.
Pelumba Ducati itu menamatkan saingan di kedudukan ketujuh, sekali gus meraih tiga mata untuk meningkatkan jumlah keseluruhan musimnya kepada 544 mata, walaupun dikenakan hukuman laluan panjang selepas didapati “menyebabkan perlanggaran” dengan Alex Rins.
Pelumba berusia 32 tahun itu mengekalkan rekod musim luar biasa dengan 11 kemenangan Grand Prix, selepas mengesahkan gelaran dunia ketujuh di Motegi minggu lalu, masih berbaki lima pusingan perlumbaan. - AFP