(Bendera Komanwel/AFP)
IPOH, 28 Jun- Mesyuarat Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan diadakan segera bagi meneliti semula sasaran emas negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 berikutan perubahan situasi semasa.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke temasya berkenaan, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata mesyuarat berkenaan juga akan membincangkan pengganti pembawa Jalur Gemilang.
Ini selepas pemain skuasy negara, S. Sivasangari terbabit dalam kemalangan.
Jelasnya, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan sendiri Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
(Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya)
"Kami telah menetapkan tarikh 15 Julai untuk mesyuarat itu, namun disebabkan pelbagai perkara yang berlaku kami akan cuba percepatkan,
"Saya rasakan lebih baik sekiranya mesyuarat dibuat seminggu sebelum kontijen berangkat ke sana," katanya selepas menyempurnakan majlis konvokesyen Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, di Meru Raya.
Pada masa sama beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa perubahan sasaran pingat emas susulan kehilangan beberapa prospek.
"Dalam mesyuarat nanti kami akan bincangkan semula sasaran pingat dalam Sukan Komanwel nanti kerana kita telah kehilangan beberapa prospek pingat, namun kami sentiasa menaruh harapan kepada semua atlet yang berjaya melayakkan diri ke Birmingham," ujarnya.
Pada edisi 2018 di Gold Coast, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas meraih tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.