(FOTO ATP TOUR)
LONDON, 28 Jun - Pemain pilihan pertama, Novak Djokovic menepati ramalan mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Kwon Soon Woo pada aksi kejohanan Tenis Wimbledon.
Bagaimanapun, Djokovic tidak diberikan laluan mudah apabila terpaksa bertarung hingga empat set sebelum mampu menjinakkan pemain di ranking ke-81 dunia itu.
Juara bertahan tersebut diberi tentangan agak sengit di set pertama sebelum menang 6-4.
Namun, Kwon berjaya bangkit di set kedua dengan mempamerkan aksi menarik untuk menewaskan Djokovic 6-3.
Enggan pulang awal, Djokovic yang memburu gelaran Grand Slam ke-21 kembali dengan prestasi sebenar untuk menguasai dua set berikutnya dengan kemenangan 6-3 dan 6-4.
Bintang Serbia itu dijadual bertemu Thanasi Kokkinakis dari Australia di pusingan kedua.
(Pemain Serbia, Novak Djokovic/Foto ATP Tour)
Sementara itu, bintang veteran Britain, Andy Murray membuktikan dirinya masih berbisa apabila turut melangkah ke pusingan kedua.
Murray, yang sudah berumur 35 tahun bagaimana pun bermula agak perlahan apabila tewas set pertama, 4-6 di tangan pemain Australia, James Duckworth.
Namun percubaan Duckworth untuk mencipta kejutan tidak berjaya apabila bekas juara dua kali itu menggunakan pengalamannya untuk menguasai tiga set berikutnya dengan keputusan 6-3, 6-2 dan 6-4.
Menanti Murray di pusingan kedua adalah pemain Amerika Syarikat, John Isner.
Turut mara pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner dari Itali.
Alcaraz terdahulu menewaskan Jan-Lennard Struff, manakala Sinner mengatasi Stan Wawrinka untuk ke pusingan kedua.