fb fb fb fb fb

Mohd Azizulhasni, Muhammad Shah lepasi pusingan kelayakan acara pecut

Foto fail/Bernama

PARIS, 7 Ogos - Pelumba berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom memulakan cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan langkah kanan apabila masing-masing mara ke pusingan pertama 1/32 acara pecut lelaki hari ini.

Pada aksi berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome menyaksikan Mohd Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman mempamerkan kayuhan bertenaga untuk berada di kedudukan ke-10 dengan catatan masa 9.402 saat (s) di pusingan kelayakan sebentar tadi.

Lebih manis, atlet kelahiran Terengganu itu melakar rekod baharu kebangsaan acara berkenaan apabila mengatasi rekod 9.523s miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai tahun lepas.

Muhammad Shah pula menduduki tempat ke-22 dengan catatan masa 9.635s.

Hanya 24 pelumba terbaik layak ke pusingan pertama 1/32.

Pelumba Belanda Harrie Lavreysen menduduki tangga teratas dengan catatan masa 9.088s yang turut mencipta rekod dunia manakala atlet Australia Matthew Richardson (9.091s) dan Israel Mikhail Yakolev (9.152s) masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga pusingan berkenaan.

Menanti Mohd Azizulhasni di pusingan pertama 1/32 pelumba Jerman Luca Spiegel, manakala Muhammad Shah akan bertemu cabaran sukar Mikhail sebentar nanti.

Sementara itu, pelumba wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan meneruskan cabaran acara keirin wanita di pusingan repechage selepas gagal meloloskan diri di pusingan pertama dengan menduduki tempat keempat dalam heat lima acara itu.

Hanya dua pelumba teratas dalam setiap heat layak ke suku akhir, manakala pelumba lain mara ke repechage. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF