fb fb fb fb fb

Modric halangan utama musnahkan impian Messi

(Gambar gabungan yang dibuat pada 11 Disember 2022 semasa kejohanan bola sepak
Piala Dunia Qatar 2022. Pemain tengah Croatia, Luka Modric (kanan) pada
1 Disember 2022 dan penyerang Argentina Lionel Messi di Doha pada 3 Disember 2022/AFP)

DOHA, 12 Disember- Impian menjulang Piala Dunia buat Lionel Messi dan Argentina masih menyala namun kecemerlangan Croatia diterajui Luka Modric tidak mustahil menjadi halangan utama meyekat kearaan Argentina pada separuh akhir di Doha awal pagi Rabu ini.

Argentina bangkit daripada kekalahan yang mengejutkan pada aksi pertama mereka di Qatar di tangan Arab Saudi dan layak ke pusingan empat terakhir dengan kemenangan meletihkan menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Belanda pada suku akhir Jumaat lalu.

Setelah mendahului 2-0 dan menguasai permainan hampir 83 minit, dengan Messi mencipta satu gol menakjubkan selepas menyempurnakan sepakan penalti, mereka terlepas dua gol pada separuh masa kedua dan terpaksa mengharungi masa tambahan sebelum menang 4-3 pada penentuan sepakan penalti.

Disokong kontinjen besar penyokong yang hadir dari jauh membawa bersama semangat dan sorakan Argentina ke stadium pada Piala Dunia kali ini, Messi dan rakan sepasukannya mula percaya tahun ini boleh menjadi milik mereka.

Penjaga gol Emiliano Martinez berkata, keyakinan Argentina kini semakin meningkat selepas menyaksikan musuh utama Brazil tewas pada suku akhir.

"Kami menguasai bola, bersemangat, dengan membawa harapan sepenuh hati dan kami melakukan ini khusus untuk 45 juta rakyat Argentina," katanya.

Sebagai pemain yang menjangkau usia berusia 35 tahun, ia dianggap peluang terakhir Messi untuk menjuarai Piala Dunia, lapan tahun selepas kekalahan Argentina pada perlawanan akhir di tangan Jerman di Rio de Janeiro.

Messi berazam untuk menyambar peluang itu dan sudah menjaringkan dua gol pertamanya pada pusingan kalah mati Piala Dunia, meledak menentang Australia pada pusingan 16 terakhir sebelum penaltinya berhasil ketika bertemu Belanda.

(Gabungan foto pemain tengah Croatia, Luka Modric (kiri) pada perlawanan 9 Disember dan penyerang Argentina
Lionel Messi (kanan) pada perlawanan pada 3 Disember di Doha. Argentina akan menentang
Croatia di perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 di Doha pada 13 Disember 2022/AFP)


Kejayaan Piala Dunia akan melengkapkan karier gemilang buat pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu, yang mungkin pemain terhebat di peringkat kelab pernah dilahirkan.

Selepas bertahun-tahun gagal di peringkat antarabangsa, beliau mencetus inspirasi kejayaan Argentina pada Copa America tahun lalu, namun tetap sedar tidak ada lawan yang bakal memberikan saingan paling getir berbanding Croatia.

Lagipun, sebarang rasa lega apabila berjaya mengelak bertemu Brazil pada separuh akhir bukan bermakna laluan mereka mudah dengan prospek berdepan Croatia yang menyingkirkan pasukan pilihan itu menerusi penentuan penalti.

"Mereka pasukan hebat yang setanding dengan Brazil dan ada kalanya jauh lebih baik," akui Messi.

"Mereka mempunyai ramai pemain yang bagus di bahagian tengah dan mereka berlatih di bawah kendalian jurulatih yang sama sejak Piala Dunia lalu, jadi mereka mengenali satu sama lain dengan baik," tambahnya.

Sementara itu, Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni beralih kepada pertahanan lima pemain menentang Belanda ketika dia membawa Lisandro Martinez ke dalam barisannya.

Tetapi bahagian tengah sentiasa menjadi kunci menentang Croatia, dengan Modric masih mengawal permainan pada usia 37 dan Marcelo Brozovic serta Mateo Kovacic melengkapkan trio yang menggerunkan.

Selepas mara ke final empat tahun lalu, Croatia telah menewaskan Jepun dan Brazil menerusi penentuan penalti untuk mara ke separuh akhir pada saingan kali ini di Qatar.

Croatia menggungguli perlawanan mereka ke masa tambahan dalam lapan daripada sembilan perlawanan kalah mati terakhir mereka.- AFP

Media Baharu