fb fb fb fb fb

Modric & Ancelotti ucap selamat tinggal di Bernabeu

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti (kanan) dan Luka Modric (kiri) melambai tangan tanda perpisahan kepada penyokong kelab berkenaan selepas perlawanan menentang Real Sociedad /Foto REUTERS

MADRID, 25 Mei-Dua ikon terbesar dalam sejarah Real Madrid, Luka Modric dan Carlo Ancelotti, melambai selamat tinggal kepada penyokong setia di Santiago Bernabeu, selepas kemenangan ke atas Real Sociedad 2-0 dalam saingan LaLiga pada Sabtu.

Modric, yang tiba di kelab berkenaan dari Tottenham Hotspur pada tahun 2012, mengukuhkan peranannya di kelab gergasi tersebut melalui kecemerlangan dengan 591 penampilan dan hampir 30 trofi, termasuk rekod enam kejuaraan Liga Juara Eropah.

Walaupun tempoh 13 tahunnya bersama kelab itu belum tamat secara rasmi, perlawanan pada Sabtu merupakan peluang terakhirnya untuk bermain di hadapan penyokong Sepanyol yang telah menyokongnya selama ini.

Pemain tengah Croatia itu akan menamatkan kariernya bersama Real selepas kempen Piala Dunia Kelab yang akan bermula bulan hadapan, namun kejohanan itu akan diadakan sepenuhnya di Amerika Syarikat.

“Saat yang saya tidak mahu tiba akhirnya datang juga, tetapi ia adalah satu perjalanan yang panjang dan indah,” kata Modric dalam ucapan yang penuh emosi.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab, Presiden Florentino Perez, semua jurulatih sepanjang tahun-tahun ini, rakan sepasukan yang menemani saya, dan semua yang telah membantu saya.

"Terima kasih dari lubuk hati saya. Juga kepada keluarga saya. Kami telah memenangi banyak perkara, mengalami detik yang menakjubkan.

"Kasih sayang yang anda semua berikan kepada saya selama ini sangat luar biasa. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terima kasih saya atas segalanya. Saya ingin berkongsi satu frasa yang saya lihat dan saya suka iaitu ‘Jangan menangis kerana ia telah berakhir, senyumlah kerana ia pernah berlaku", tambahnya.

Sementara itu, meskipun masih berpeluang melihat Modric meraih satu lagi trofi, Ancelotti pula membuat penampilan terakhirnya di Bernabeu dan menamatkan penggal keduanya bersama kelab tanpa sebarang kejuaraan musim ini — satu perkara yang jarang berlaku dalam kariernya.

Namun begitu, jurulatih dari Itali itu tetap akan menamatkan tugasnya sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab tersebut yang sinonim dengan kejayaan selama lebih satu abad.

Sepanjang dua penggal bersama Real Madrid, beliau meraih 15 gelaran, termasuk tiga Liga Juara Erpoh , dua Piala Dunia Kelab, tiga Piala Super Eropah, dua LaLiga, dua Copa del Rey, dua Piala Super Sepanyol dan satu Piala Antara Benua.

“Saya sangat gembira dan bangga. Ia satu tempoh yang luar biasa. Kita tidak boleh melupakan apa yang telah berlaku, dan saya akan pergi dengan membawa kasih sayang daripada penyokong dan rasa bangga kerana pernah melatih sebuah kelab hebat untuk sekian lama,” katanya kepada Real Madrid TV.

“Real Madrid adalah rumah, sebuah keluarga. Ia telah begitu selama enam tahun ini. Kami menikmati setiap saat — dengan kejuaraan, suasana yang harmoni…

“Hubungan antara saya, kelab dan pemain sangat baik. Saya telah melatih pemain-pemain luar biasa dan Madrid akan terus memiliki pemain hebat. Hari ini adalah hari yang penuh emosi", jelasnya.

Jurulatih berusia 65 tahun itu akan menggalas tugas sebagai jurulatih skuad kebangsaan Brazil dan dijangka akan digantikan oleh bekas pemain Real Madrid dan pengurus Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, sebelum kempen Piala Dunia Kelab bermula.

“Adalah sesuatu yang normal untuk menangis hari ini. Saya pergi dengan rasa puas hati sepenuhnya,” tambah Ancelotti.

“Ia satu penghormatan dan keseronokan menjadi sebahagian daripada keluarga ini dan mencipta serta menyumbang kepada sejarah kelab ini. Itu adalah matlamat saya sejak hari pertama — dan saya telah mencapainya", tambahnya.

Terdahulu, Kylian Mbappe memastikan kemenangan bergaya buat Real Madrid apabila meledak dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Real Sociedad dalam aksi terakhir La Liga di Santiago Bernabeu.

Pemain antarabangsa Perancis itu turut melonjak ke tangga teratas dalam senarai perebutan Kasut Emas Eropah, meninggalkan pencabar terdekat dari Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres. Mbappe kini mengumpul 30 gol liga musim ini.

Real Madrid membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang diberikan selepas Pablo Marin didapati mengendal bola hasil cubaan Arda Guler, selepas semakan VAR dilakukan. Walaupun sepakan penalti Mbappe berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Unai Marrero, beliau pantas menyambar bola muntah untuk meletakkan Madrid di hadapan.

Real Sociedad hampir menyamakan kedudukan menerusi Sergio Gomez, namun percubaannya mudah ditangkap oleh penjaga gol Madrid, Andriy Lunin.

Mbappe melengkapkan jaringan kedua pada separuh masa kedua selepas menerima umpanan Vinicius Junior untuk menggandakan kelebihan pasukan tuan rumah.

Dalam perlawanan ini, Lucas Vazquez turut diberikan tepukan gemuruh apabila digantikan — pemain yang kini berada di penghujung kontrak bersama kelab selepas beraksi sepanjang kariernya di Madrid kecuali satu musim dipinjamkan ke Espanyol.

Real Madrid menamatkan musim La Liga di tangga kedua di belakang Barcelona, yang turut menewaskan mereka dalam perlawanan akhir Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD