fb fb fb fb fb

MSL: Inter Miami bangkit sebelum seri

Foto REUTERS

WASHINGTON, 25 Mei-Inter Miami bangkit daripada ketinggalan 3-1 untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang pendahulu MLS Konferensi Timur, Philadelphia Union pada Sabtu hasil jaringan penyamaan dramatik pada masa kecederaan oleh pemain gantian, Telasco Segovia.

Penyerang Israel, Tai Baribo, menjaringkan dua gol untuk Philadelphia bagi memberikan kelebihan dua gol.

Namun Lionel Messi kembali menyuntik harapan buat Miami menerusi sepakan percuma pada minit ke-87 sebelum Segovia meledak gol penyamaan dramatik.

Quinn Sullivan, yang baru dipanggil ke skuad kebangsaan Amerika Syarikat oleh Mauricio Pochettino minggu ini, membuka jaringan seawal minit ketujuh selepas kegagalan pertahanan Miami gagal menutup ruang.

Baribo menggandakan jaringan pada minit ke-44 dengan penyudah pantas, ketika masalah pertahanan terus menghantui Miami.

Miami kembali bersaing apabila Noah Allen melakukan hantaran silang dari sebelah kiri yang ditanduk kemas oleh pemain Argentina, Tadeo Allende pada minit ke-60.

Namun, Philadelphia kembali mendahului dengan kelebihan dua gol apabila lontaran jauh gagal dikeluarkan oleh pertahanan Miami.

Kesilapan itu dimanfaatkan Baribo untuk gol ketiga Union.

Messi kemudiannya menewaskan penjaga gol Union, Andrew Rick, dengan sepakan percuma bertenaga untuk gol keenamnya musim ini, hanya tiga minit sebelum masa sebenar tamat.

Jovan Lukic hampir memberikan kemenangan kepada tuan rumah apabila sepakan dari dalam kotak penalti terkena palang di awal masa kecederaan.

Namun mereka dikecewakan apabila Segovia menyempurnakan gerakan hasil usaha Messi dengan jaringan penyamaan pada minit ke-95.

Skuad kendalian Javier Mascherano kini berada di tangga keenam Konferensi Timur.

Bekas pemain Barcelona dan Argentina itu memuji semangat juang pasukannya pada perlawanan berkenaan.

"Kami menunjukkan watak dan keperibadian. Sekali lagi kami bermula dengan sukar kerana bolos awal... tetapi pemain menunjukkan mereka mahu bangkit dari situasi ini," kata Mascherano.

"Kami sedang melalui fasa sukar, tetapi masih ada semangat untuk kembali menjadi pasukan seperti awal musim ini," tambahnya sambil menuntut peningkatan daripada barisan pertahanan", tambahnya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD