MIAMI, 4 Mei-Bintang Argentina, Lionel Messi menjaringkan gol untuk membantu pasukannya, Inter Miami menewaskan New York Red Bulls 4-1 di Stadium Chase pada Sabtu.
Kemenangan tersebut mengubati kekecewaan Inter Miami yang tewas pada perlawanan separuh akhir Piala Kejuaraan CONCACAF minggu lepas.
Pada perlawanan berkenaan, Inter Miami membuka jaringan pada minit ke-9 menerusi Fafa Picault yang berjaya menyudahkan hantaran lintang Marcelo Weigandt.
Weigandt kemudian meledak gol kedua pada minit ke-30 menerusi tandukan jarak dekat.
Penyerang Inter Miami, Luis Suarez menambah derita New York Red Bulls dengan gol ketiga pada minit ke-40 bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Red Bulls merapatkan kedudukan sebelum rehat apabila sepakan penjuru Omar Valencia menerjah ke gawang melepasi kawalan penjaga gol Oscar Ustari untuk gol saguhati pelawat.
Memasuki babak kedua, Inter Miami menggandakan asakan sekali gus mendominasi perlawanan.
Lionel Messi melengkapkan malam gemilang buat Inter Milan dengan gol keempat pada minit ke-67 hasil gerakan satu-dua dengan Telasco Segovia, sebelum menyudahkan peluang dengan rembatan kaki kiri yang menewaskan Coronel.
Jaringan itu mengakhiri kemarau empat perlawanan Messi tanpa gol dan membantu Miami naik ke tangga keempat Liga Konferensi Timur (Eastern Conference) MLS.-AFP.