VALLADOLID, 4 Mei-Barcelona melebarkan jurang di puncak LaLiga kepada tujuh mata selepas bangkit menewaskan Real Valladolid 2-1 pada Sabtu, hasil jaringan di separuh masa kedua oleh Raphinha dan Fermin Lopez.
Pada perlawanan tersebut, Valladolid mencipta kejutan apabila mendahului seawal minit ke-6 melalui Ivan Sanchez, yang menerima hantaran lintang Raul Moro sebelum rembatannya membias masuk ke gawang gol, menewaskan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen.
Cubaan Barcelona untuk menyamakan kedudukan sebelum rehat digagalkan oleh kecemerlangan Andre Ferreira di gawang Valladolid, apabila penjaga gol dari Portugal itu menafikan percubaan Ansu Fati dan Lopez, sementara Barcelona bergelut mencari rentak.
Perlawanan terpaksa dihentikan seketika selepas pemain muda berusia 19 tahun, Dani Rodriguez, mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan oleh Lamine Yamal.
Bagaimanapun, selepas rehat, Barcelona kembali menemui rentak.
Pemain gantian, Raphinha menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi sepakan separuh voli cantik ke penjuru gawang, selepas Ferreira menepis hantaran lintang Yamal.
Fermin Lopez melengkapkan kebangkitan pada minit ke-60 apabila menyudahkan peluang dari luar kotak penalti hasil hantaran bijak Gerard Martin.
Barcelona terus memburu gol ketiga, dengan Hector Fort hampir menjaringkan gol selepas serangan balas pantas apabila percubaannya terkena tiang, manakala sepakan Yamal diselamatkan di atas garisan oleh Antonio Candela.
Tuan rumah nyaris menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan, namun Ter Stegen cemerlang menafikan percubaan Juanmi Latasa, manakala Moro turut hampir menjaringkan gol dalam minit-minit terakhir.
“Matlamat utama adalah untuk dapatkan tiga mata dan saya gembira kerana berjaya melakukannya,” kata Flick, yang kini memberi tumpuan kepada pertemuan penting menentang Real Madrid hujung minggu ini dalam aksi El Clasico.
Barcelona kini mengumpul 79 mata, mengatasi pencabar terdekat Real Madrid yang akan melayan kunjungan Celta Vigo pada Ahad. Anak buah Hansi Flick dijadualkan bertemu Inter Milan dalam perlawanan timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara pada Selasa, selepas seri 3-3 pada aksi pertama minggu lalu.-REUTERS.