SEREMBAN, 21 Ogos - Skuad bola keranjang wanita bawah 16 tahun (B-16) negara membawa misi penting di Kejohanan Bola Keranjang Wanita B-16 Piala Asia 2025 di Karisma Arena, Seremban, Negeri Sembilan bulan depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Tan Kee Hian menegaskan pasukan kebangsaan perlu menampilkan prestasi terbaik serta meraih keputusan positif di peringkat kumpulan bagi mencerahkan peluang mara lebih jauh.
'Divisyen B terdiri daripada Tonga, Hong Kong, Malaysia dan Indonesia. Empat pasukan ini berada dalam kumpulan kita. Kita perlu menewaskan sekurang-kurangnya satu atau dua pasukan bagi melangkah ke pusingan seterusnya. Dalam kumpulan lain Divisyen B pula menampilkan Samoa, India, Iran dan Uzbekistan,' katanya.
Terdahulu, Jalur Gemilang diserah kepada pasukan negara oleh Timbalan Presiden MABA, Datuk Ooi Khoon Yeong.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Datuk Lee Yuen Fong, memaklumkan tiket percuma akan diagih kepada pelajar, ibu bapa dan rakan-rakan pasukan negara bagi memberi peluang masyarakat tempatan merasai kehangatan kejohanan.
Pasukan bola keranjang wanita B-16 negara merupakan skuad pembangunan penting di bawah kendalian MABA yang berperanan sebagai pelapis utama pasukan senior, Malaysia juga memiliki tradisi cemerlang di pentas Asia Tenggara dengan rekod 13 kali juara Sukan SEA.
Untuk edisi kali ini, Divisyen A menampilkan kuasa besar bola keranjang Asia termasuk China, Jepun, Australia, Korea, New Zealand, Syria, Chinese Taipei dan Filipina.