fb fb fb fb fb

JDT jinakkan Lion City Sailors di SSI

Foto JOHOR Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 21 Ogos - Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN dengan bergaya apabila menewaskan Lion City Sailors (LCS) 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

Penyerang import Brazil, Joao Vitor Brandao Figueredo menjadi watak utama kemenangan Harimau Selatan selepas meledak dua gol pantas dalam tempoh 16 minit pertama permainan.

Gol pembukaan hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-11 yang disempurnakan oleh Figueredo, sebelum menggandakan jaringan lima minit kemudian.

Bintang muda JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi kemudian meletakkan tuan rumah dengan kedudukan selesa dengan jaringan gol ketiga pada masa tambahan.

Bagaimanapun, wakil Singapura tidak berputus asa dan akhirnya memperoleh gol sagu hati pada minit terakhir perlawanan menerusi Muhammad Shawal Anuar.

"Kami berjaya mengawal permainan di separuh masa pertama dan berjaya menghasilkan dua gol. Saya ucapkan tahniah kepada pemain-pemain kerana menunjukkan aksi terbaik dan memberikan segalanya dalam perlawanan ini," kata ketua jurulatih, Xisco Munoz selepas perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic sedikit kecewa dengan kekalahan itu terutama kelekaan pemain di babak pertama.

"Pada pendapat saya, kami tewas sejak separuh masa pertama lagi. Memang ketara. Saya sedikit kecewa dengan pemain kerana mereka gementar dan selepas dibolosi 2 gol, ia bertambah sukar."

Kemenangan pertama ini meletakkan juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu menghuni tangga teratas kumpulan dengan tiga mata.

JDT bakal menerima kunjungan wakil Thailand, True Bangkok United FC pada 25 September depan.

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN