fb fb fb fb fb

Misi buru emas diteruskan, perjuangan di Paris belum selesai- MPM

Datuk Seri Megat D.Shahriman ditemui media di Paris / FOTO RTM

PARIS, 7 September- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyatakan perjuangan mereka di bumi Paris masih belum selesai dalam melengkapkan misi pemburuan empat pingat emas seperti yang disasarkan sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin menyatakan ketika ini masih ada beberapa sukan yang berpontensi untuk merealisasikan hasrat tersebut.

"Saya harap atlet-atlet lain juga, mcam Jong Yee Khie, hari Ahad nanti dia akan cuba sebaik mungkin (untuk meraih emas) dan paling penting perjuangan kita belum selesai, kita masih lagi dalam misi pemburuan pingat emas sehingga selesai 9 hari bulan nanti," katanya.

Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas hadir menyaksikan saingan powerlifting yang membabitkan atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin di Porte de La Chapelle Arena, Paris.

Pada aksi berkenaan, Bonnie atlet kelahiran Bumi Kenyalang itu bukan sahaja berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya malah memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dengan angkatan 232 kg.

Hadir sama di saingan pentas akhir itu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Penaung MPM, Tun Jeanne Abdullah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE