fb fb fb fb fb

Saingan akhir PNAGS 2024 bermula esok, 70 pemain rebut slot ke Phuket

FOTO FB Wold Amateur Golfers Championship - Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 September- Seramai 70 pemain golf amatur negara akan berentap pada saingan Final Kebangsaan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) 2024 di Johor selama dua hari bermula esok.

Aksi akan berlangsung di Forest City, Johor menyaksikan pemenang saingan final kebangsaan bakal mendapat tajaan sepenuhnya daripada Perodua untuk bersaing di Kejohanan Pemain-Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket pada 25 Oktober hingga 2 November depan.

Semua pemain terbabit adalah pemenang lima kategori dipertandingkan dalam beberapa siri kelayakan yang diadakan di seluruh negara sejak awal tahun ini.

Pengerusi Penganjur PNAGS 2024, Lokman Ishak berkata semua peserta akan bersaing untuk memburu gelaran juara kebangsaan bagi lima kategori yang dipertandingkan iaitu medal A, B, C, D dan E.

"Pada saingan Final Kebangsaan di Forest City nanti semua 70 pemain ini akan bersaing dalam dua pusingan membabitkan 36 lubang di Lapangan Legacy dan Classic menerusi format `strokeplay'.

"Perasmian pertandingan dan penyampaian hadiah bakal disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari in

PNAGS 2024 diperakukan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia manakala Perodua menjadi penaja utama.

Sebanyak 40 negara sudah mengesahkan penyertaan saingan WAGC termasuk Malaysia dengan saingan diadakan di tiga lapangan gol terkenal iaitu The Red Mountain, Kelab Golf Laguna dan Blue Canyon.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE