MEXICO CITY, 13 Jun - Mexico City giat mempersiapkan semula stadium ikoniknya, Stadium Aztec, untuk menjadi tuan rumah kepada pasukan-pasukan dari seluruh dunia sempena Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung pada 11 Jun tahun depan.
Stadium yang telah melalui proses naik taraf itu yang pernah menjadi pentas perlawanan akhir Piala Dunia pada tahun 1970 dan 1986, akan menjadi lokasi perlawanan pembukaan, selain turut menganjurkan beberapa perlawanan peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati dalam kejohanan berprestij yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Venue tersebut, yang kini dikenali sebagai Estadio Banorte akan menggunakan nama “Estadio Ciudad de Mexico” sepanjang Piala Dunia 2026, dijangka dapat menampung seramai 87,000 penonton selepas selesai pengubahsuaian yang menelan kos sebanyak 3,000 juta peso ($158 juta) bersamaan kira-kira RM810 juta.
Stadium itu juga akan dilengkapi dengan 2,200 meter persegi skrin LED, sistem audio baharu, serta padang rumput hibrid semula jadi, selain beberapa penambahbaikan lain.
Kerja-kerja pembinaan dijadual siap pada suku pertama tahun 2026, bagi membolehkan ujian operasi dijalankan. - REUTERS