BELGIUM, 13 Jun - Pemain tengah berkaliber Belgium, Kevin De Bruyne, telah menyertai juara Serie A, Napoli, sebagai pemain bebas.
Perpindahan ini mengakhiri tempoh cemerlang De Bruyne selama 10 tahun bersama Manchester City di bawah kendalian Pep Guardiola.
Sejak menyertai Manchester City dari kelab Jerman, VfL Wolfsburg pada tahun 2015, De Bruyne telah merangkul 19 trofi bersama pasukan itu.
Antara koleksi trofi tersebut ialah enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu gelaran Liga Juara-Juara.
Beliau juga telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik EPL sebanyak dua kali.
Kontrak pemain berusia 33 tahun itu bersama City berakhir pada penghujung musim yang baru selesai, dan beliau dianggap sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam sejarah EPL.
Kapten Belgium itu telah membuat 40 penampilan dalam semua pertandingan untuk City pada musim lalu, dengan mencatat enam jaringan dan lapan bantuan gol.
Selepas pulih daripada kecederaan paha pada September, beliau turut memainkan peranan penting dalam membantu City layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
Kecederaan telah mengehadkan penampilannya dalam dua musim terakhir.
De Bruyne telah tampil dalam 422 perlawanan bagi semua pertandingan bersama City, dengan rekod 108 jaringan dan 177 bantuan gol.
Beliau menduduki tempat kedua dalam senarai pembantu gol terbanyak dalam sejarah EPL dengan 119 bantuan gol, di belakang Ryan Giggs (162).
Napoli meraih gelaran Serie A kedua mereka dalam tiga tahun selepas persaingan sengit dengan Inter Milan.