KUALA LUMPUR, 13 Jun - Perbincangan mengenai kedudukan pemain dalam lanskap badminton negara, yang sering menjadi topik perdebatan dalam kalangan peminat dan penggiat sukan, tidak sepatutnya dijadikan fokus utama.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, apa yang lebih penting adalah kejayaan atlet di peringkat antarabangsa, berbanding status mereka sama ada bernaung di bawah BAM atau bergerak secara profesional.
“Terdapat dua pandangan berbeza berhubung kedudukan pemain sama ada kekal di bawah BAM atau bergerak secara bebas. Ada yang berpendapat pemain wajar diberi kebebasan untuk memilih, namun ada juga yang berpendapat prestasi mereka sering merosot selepas membuat pilihan tersebut.
Justeru, semua kelebihan dan kekurangan perlu diteliti secara objektif. Apa yang paling penting, sama ada bersama BAM atau secara bebas, mereka harus mampu membawa kejayaan kepada negara,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat sesi latihan pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Tengku Zafrul melakukan lawatan ketika sesi latihan pemain kebangsaan
di Akademi Badminton Malaysia (ABM)
Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga turut menegaskan keperluan untuk melaksanakan penambahbaikan segera dalam aspek pengurusan dan kebajikan pemain badminton negara tanpa menunggu tempoh penilaian 100 hari yang dimintanya terdahulu.
“Dalam isu pemakanan, perbincangan telah diadakan dan keputusan telah dibuat untuk meningkatkan peruntukan bagi aspek nutrisi dan penyediaan makanan, bukan sahaja kepada pemain tetapi turut merangkumi jurulatih," katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa setiap keputusan yang dibuat akan berasaskan kepentingan negara dan pembangunan jangka panjang sukan badminton Malaysia.