fb fb fb fb fb

Tengku Zafrul mahu penyelesaian segera isu kontrak Pearly-Thinaah

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 13 Jun - Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyeru agar isu kontrak melibatkan Pearly Tan dan M. Thinaah diselesaikan dengan segera, sambil menyatakan harapan agar pasangan itu terus kekal bersama skuad kebangsaan.

Beliau berkata adalah penting bagi pasukan kebangsaan mengekalkan kestabilan dan fokus, khususnya kepada pemain yang sedang membuat persiapan menghadapi kejohanan utama.

“Perkara seperti ini ada kalanya tidak bagus dalam usaha kita untuk memberikan fokus 100 peratus kepada apa yang ingin dicapai.

“Kedua, kita perlu memastikan semua pemain kekal bersama BAM. Jadi, saya telah meminta pihak pengurusan untuk mencuba sedaya upaya memastikan mereka kekal,” katanya kepada pemberita selepas melawat sesi latihan pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa pasangan berkenaan masih belum menandatangani kontrak baharu bersama BAM selepas kontrak terdahulu tamat pada Disember lepas. - BERNAMA

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE