fb fb fb fb fb

Messi sertai latihan bersama La Albiceleste hadapi kelayakan Piala Dunia

FOTO 'X' Selección Argentina

BUENOS AIRES, 3 Jun- Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi, kembali menyertai sesi latihan bersama skuad kebangsaan Argentina pada Isnin sebagai persiapan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Chile.

Messi pulang ke tanah air selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab Inter Miami, apabila menjaringkan dua gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam kemenangan bergaya 5–1 ke atas Columbus Crew pada Sabtu di Florida.

Bawah bimbingan ketua jurulatih, Lionel Scaloni, Argentina sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi dua perlawanan penting saingan kelayakan zon Amerika Selatan menentang Chile di Santiago pada Khamis, diikuti pertemuan menentang Colombia di Stadium Monumental, Buenos Aires pada Selasa depan.

Argentina telahpun mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico.

Kini skuad kebangsaan yang dikenali sebagai La Albiceleste itu menerajui kedudukan teratas carta CONMEBOL dengan kutipan 31 mata hasil 10 kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE