KUALA LUMPUR, 3 Jun- Pemain pertahanan tengah, Facundo Garces, diumumkan sebagai muka baharu dalam skuad bola sepak kebangsaan kendalian ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Malaysia NT, dalam satu kenyataan memaklumkan pemain berusia 25 tahun itu dijangka membawa kualiti, pengalaman dan kepimpinan yang besar kepada skuad Harimau Malaya, sekali gus membantu mengukuhkan pasukan ke arah menjadi skuad impian rakyat Malaysia.
“Garces pernah beraksi dalam liga utama Argentina dan baru sahaja menamatkan musim bersama Deportivo Alaves di La Liga. Segala keperluan pendaftaran dan kelayakan telah dilengkapkan, dan beliau kini tersedia untuk dipilih oleh Cklamovski,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, Garces memiliki perwatakan hebat, tenang di posisi pertahanan dan mempunyai personaliti serta pengalaman tinggi. Pemain itu turut menunjukkan semangat luar biasa untuk mewakili Malaysia.
Garces turut meluahkan keterujaannya untuk bersama skuad kebangsaan.
“Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan besar. Sejak tiba di Malaysia, saya merasai kehangatan, semangat kekeluargaan dan sokongan ikhlas daripada semua.
“Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya nanti apabila seluruh negara berdiri teguh bersama kami. Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Garces telah menyertai kem latihan pasukan sempena jendela perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan layak untuk beraksi dalam perlawanan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini.