fb fb fb fb fb

Messi ledak hatrik bantu Inter Miami atasi Nashville SC 5-2

Foto/REUTERS

MIAMI, 19 Oktober - Lionel Messi mencipta jaringan hatrik dan satu bantuan gol untuk membantu Inter Miami bangkit menewaskan Nashville SC 5-2 dalam aksi terakhir musim biasa Major League Soccer (MLS).

Miami yang kini di tangga ketiga Persidangan Timur, akan bertemu semula Nashville di pusingan pertama playoff MLS bermula 24 Oktober ini.

Pada aksi tersebut, Messi membuka jaringan pada minit ke-34 hasil hantaran Jordi Alba.

Bagaimanapun Sam Surridge kembali menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian, sebelum Jacob Shaffelburg meletakkan Nashville mendahului 2-1 pada penghujung babak pertama.

Memasuki babak kedua, Messi menyumbat masuk gol penalti pada minit ke-63 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Inter Miami yang terus mengasak ke kubu lawan berhasil mendapat gol ketiga yang disumbangkan Baltasar Rodriguez empat minit kemudian.

Messi kemudian melengkapkan hatrik dengan rembatan rendah ke penjuru gawang minit ke-81 dan turut mencipta peluang untuk Telasco Segovia menambah gol kelima di masa kecederaan.

Pemain berusia 37 tahun itu kini menamatkan musim dengan 29 gol, hampir pasti merangkul Kasut Emas MLS 2025, meninggalkan pencabar terdekat Denis Bouanga dan Sam Surridge dengan 24 gol.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD