PARIS, 31 Oktober- Bintang Argentina, Lionel Messi dinobatkan sebagai pemenang Ballon d'Or 2023.
Kemenangan tersebut menyaksikan Messi berjaya meraih gelaran itu buat kali ke-8, menewaskan Kylian Mbappe dan Erling Haaland.
Messi menyatakan bahawa anugerah itu merupakan satu ganjaran kepada dirinya di atas segala usaha, persembahan dan inspirasinya pada Piala Dunia Qatar 2022.
Bintang berjiwa besar itu membantu Argentina menjulang piala berprestij itu, dengan tujuh gol selain dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan itu.
“Ini adalah hadiah kepada seluruh pasukan Argentina atas apa yang kami capai,” kata Messi di atas pentas selepas menerima anugerah daripada David Beckham, pemilik bersama Inter Miami.
Messi mendedikasikan trofi itu kepada mendiang legenda Argentina Diego Maradona, yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-63 pada hari Isnin.
"Selamat hari lahir Diego. Ini untuk awak juga," katanya," tambah Messi ketika menerima trofi anugerah di pentas Teater Chatelet di Paris pada Isnin.
Messi berusia 36 tahun dan memenangi Ballon d'Or pertamanya pada 2009, kini mendahului tiga trofi daripada Cristiano Ronaldo sekali gus menjadikan dia sebagai pemain paling banyak menerima anugerah itu.
Sementara itu, bagi anugerah wanita pula diberikan kepada bintang Sepanyol, Aitana Bonmati.
Aitana antara tonggak penting dalam aksi Piala Dunia Wanita yang berlangsung di Australia, mengheret pasukan ke pusingan akhir sekali gus melakar kejuaraan bersama pasukannya pada kejohanan dunia, Ogos lalu.
Pemain tengah berusia 25 tahun itu dinobatkan sebagai pemain terbaik di Piala Dunia ketika pasukan Sepanyol mengatasi pergolakan di luar padang termasuk bantahan terhadap persekutuan kebangsaan mereka dan jurulatih Jorge Vilda, untuk menjulang trofi itu.
Bonmati juga membintangi Barcelona memenangi Liga Juara-Juara musim lalu dan baru-baru ini dinamakan sebagai Pemain Terbaik Wanita UEFA.
"Sukar untuk memperbaiki perkara ini. Ia merupakan tahun yang unik."
"Jika sesiapa berkata kepada saya semasa saya kecil bahawa saya akan bermain di Camp Nou, memenangi Piala Dunia, dua Liga Juara-Juara, Ballon d'Or, anugerah UEFA, ini adalah perkara yang luar biasa," katanya kepada pelbagai media termasuk AFP.
Dia adalah salah seorang daripada empat ahli pasukan Sepanyol yang berjaya muncul dalam kalangan 30 pencalonan, dengan Alba Redondo, Salma Paralluelo dan pertahanan, Olga Carmona yang menjaringkan pemenang pada perlawanan akhir, semuanya disenarai pendek.
Pemenang Ballon d'Or tahun lalu, Alexia Putellas, juga sebahagian daripada pasukan Sepanyol itu, tidak dicalonkan selepas hampir keseluruhan musim lalu terlepas kerana kecederaan lutut.
Sam Kerr dari Australia mendapat tempat kedua dengan Paralluelo di tempat ketiga.
Dalam pada itu, Jude Bellingham memenangi Anugerah Kopa untuk pemain terbaik berusia bawah 21 tahun bagi musim lalu .
Pemain berusia 20 tahun itu telah memulakan kerjayanya di Madrid dengan 13 gol dalam 13 perlawanan, walaupun hadiah itu memberi ganjaran kepada persembahannya dalam kempen terakhirnya bersama Borussia Dortmund.
Rakan sepasukan Bellingham di Madrid, Vinicius Junior, memenangi hadiah Socrates sebagai pengiktirafan terhadap kerja luar padangnya manakala Emiliano Martinez memenangi trofi Yashin untuk penjaga gol terbaik musim ini.- AFP