(Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain)
KUALA NERUS, 8 September - Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kini mampu untuk menarik nafas lega setelah penjaga gawang TFC kini berada dalam prestasi terbaik dan sedia untuk menjadi taruhan perlawanan akhir Piala FA bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu ini.
Beliau menyifatkan TFC kini mempunyai jentera penjaga gawang yang terbaik di mana selain Rahadiazli Rahalim turut menjadi taruhan adalah Suhaimi Husin yang turut beraksi cemerlang pada musim ini.
Walaupun sebelum ini dikejutkan dengan insiden Rahadiazli mengalami kecederaan sewaktu aksi perlawanan Liga Super menentang Melaka United pada Sabtu lalu sehingga dikejarkan ke hospital, namun situasi perkembangan terkini penjaga gol berketinggian 1.92 meter itu kembali menjalani latihan bersama pasukan memberi satu isyarat positif buat pasukan.
(Foto fail)
"Tiada beza pun, sebab kedua-dua pemain ini bagi saya adalah pemain utama 'goal keeper' (penjaga gol), bukan satu pemain utama dan kita tengok dari segi permainan pun saya rasa sama sahaja dari segi jumlah bermain, bagus untuk pasukan, dua penjaga gol yang sedia untuk diturunkanlah tanpa keraguan dan kerisauan di pihak saya," kata beliau yang ditemui sewaktu sesi latihan terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini.
Nafuzi juga optimis bahawa penjaga gol yang akan diturunkan nanti mampu untuk beraksi sepenuhnya sehingga ke masa tambahan.