(Aksi perlawanan separuh akhir Piala AFC di antara KL City FC (jersi putih) dan ATK Mohun Bagan
di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, India/ Foto ATK Mohun Bagan FC)
KUALA LUMPUR, 8 September - Juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur (KL) City FC mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan kelab dari India ATK Mohun Bagan 3-1, untuk layak ke final antara zon buat pertama kali saingan Piala AFC malam tadi.
Aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, India, itu menyaksikan ATK Mohun Bagan jelas mendominasi babak pertama dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu KL City, namun gagal menjelmakan gol.
Bersambung pada babak kedua, kapten pasukan KL City, Paulo Josue mengejutkan lawan apabila menjaringkan gol pembukaan dengan rembatan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-60.
Bagaimanapun, jaringan dari jarak dekat oleh Fardin Ali pada minit ke-90 menyamakan kedudukan buat ATK Mohun Bagan.
(Aksi perlawanan separuh akhir Piala AFC di antara KL City FC (jersi putih) dan ATK Mohun Bagan
di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, India/ Foto Hindustan Times)
Kegembiraan ATK Mohun Bagan tidak kekal lama apabila tandukan penyerang Fakrul Aiman Sidid, berpunca dari sepakan percuma diambil Josue, meletakkan pasukan bimbingan pengendali dari Croatia, Bojan Hodak itu kembali di depan pada minit kedua masa kecederaan.
Romel Morales, terus menceriakan KL City apabila melepaskan sepakan leret untuk menyumbat gol ketiga pasukannya pada minit kelima masa kecederaan, sekali gus membawa skuad warga kota itu ke final pada bulan depan.
KL City akan menentang kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana, yang menang tipis ke atas skuad dari Hong Kong, Eastern Long Lions, 1-0, dalam satu lagi aksi separuh akhir. -BERNAMA