(Joseph Schooling / REUTERS)
SINGAPURA, 1 September- Satu-satunya pemenang pingat Olimpik Singapura, Joseph Schooling tampil dengan permohonan maaf pada Selasa kerana mengambil ganja semasa mengambil bahagian dalam Sukan Sea, Mei lalu.
Ia merupakan satu kesalahan yang membawa hukuman berat di negara asalnya.
Singapura mempunyai beberapa undang-undang dadah yang paling keras di dunia, yang menyaksikan rakyat dan penduduk tetapnya berdepan hukuman penjara 10 tahun jika didapati mengambil bahan terlarang di luar negara itu.
Atlet renang yang menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib selama dua tahun, didapati negatif dadah tetapi mengaku menghisap ganja di luar negara pada Mei, kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan berasingan lewat Selasa.
Schooling, 27 tahun diberi amaran dan akan diletakkan pada rejim ujian air kencing yang diawasi selama enam bulan, tambah kementerian itu.
Pemenang pingat emas Rio 2016 dalam acara 100m kupu-kupu ; satu-satunya emas Olimpik Singapura dalam sejarah memohon maaf dalam satu kenyataan tetapi tidak memberikan butiran mengenai rancangannya untuk kerjaya renangnya.
“Saya melakukan kesilapan dan saya bertanggungjawab atas apa yang saya lakukan... saya tidak akan mengecewakan kamu (Singapura) lagi,” katanya.
Schooling mencetuskan sensasi di Rio 2016 apabila menewaskan Michael Phelps untuk memenangi acara 100m kupu-kupu.
Tetapi juara Olimpik pertama negara kota itu melepaskan gelarannya selepas gagal layak dalam acara yang sama di Tokyo tahun lalu. -AFP
(Atlet renang Singapura, Joseph Schooling / REUTERS)