NEW YORK, 28 April- Legenda bola keranjang Amerika Syarikat dan juara NBA dua kali bersama New York Knicks, Dr. Richard "Dick" Barnett, dilaporkan meninggal dunia pada usia 88 tahun.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan pasukan New York Knicks hari ini, yang turut menzahirkan rasa sedih atas kehilangan bekas pemain ikonik mereka.
"Sepanjang kerjayanya yang cemerlang, Dick Barnett benar-benar mencerminkan semangat seorang pemain New York Knick, baik di dalam mahupun di luar gelanggang," menurut kenyataan tersebut.
Media tempatan, The New York Times, melaporkan Barnett menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat jagaan di Florida, hujung minggu lalu. Bagaimanapun, punca kematiannya tidak didedahkan.
Barnett, yang merupakan pilihan kelima dalam Draf NBA 1959 oleh pasukan Syracuse Nationals, turut pernah beraksi bersama Los Angeles Lakers sebelum menyertai Knicks pada tahun 1965.
Dalam tempoh sembilan musim bersama Knicks, beliau mencatat purata 15.6 mata setiap perlawanan, meletakkannya di kedudukan kesembilan dalam senarai penjaring sepanjang zaman pasukan itu.
Barnett dikenali dengan gaya lontaran unik "Fall back, baby", yang menyaksikan beliau melompat ke belakang sambil melepaskan bola ke udara.
Pada tahun 1990, Knicks menghargai jasanya dengan mempensiunkan jersi bernombor 12 miliknya. Barnett turut dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) kategori veteran lelaki pada tahun lalu.
Dilahirkan di Gary, Indiana pada 2 Oktober 1936, Barnett mengetuai Tennessee Agricultural and Industrial State University (kini Tennessee State University) memenangi tiga kejuaraan kebangsaan berturut-turut anjuran National Association of Intercollegiate Athletics (NAIA) dari 1957 hingga 1959, menjadikan mereka institusi kulit hitam pertama yang menjuarai gelaran bola keranjang peringkat kebangsaan.-AFP