WASHINGTON, 28 April- Pemain Amerika Syarikat, Andrew Novak dan Ben Griffin, mencipta sejarah peribadi apabila berjaya merangkul gelaran PGA Tour pertama mereka selepas bergandingan menjuarai acara berpasangan Zurich Classic, awal pagi tadi.
Pasangan itu mencatat 1 bawah par 71 dalam pusingan akhir format ‘alternate shot’ di TPC Louisiana, sekali gus menamatkan 72 lubang dengan jumlah keseluruhan 28 bawah par 260, menewaskan pasangan kembar dari Denmark, Rasmus dan Nicolai Hojgaard dengan kelebihan satu pukulan.
Novak dan Griffin berdepan cabaran getir selepas kembali ke lapangan daripada rehat akibat ribut selama dua setengah jam, apabila melakukan bogey berturut-turut di penghujung sembilan lubang pertama.
Namun, mereka kembali stabil di sembilan lubang terakhir sebelum Griffin berjaya melakukan putt birdie sejauh 35 kaki di lubang ke-17 par-tiga.
"Saya hanya berniat untuk meletakkan bola sedekat mungkin bagi memudahkan Andrew, namun saya memilih garisan yang saya rasakan berpeluang untuk menghasilkan pukulan masuk, dan syukur bola itu jatuh tepat di tengah lubang," kata Griffin.
Pasangan itu memastikan kemenangan dengan par di lubang terakhir, sementara pasukan Hojgaard terus memberi tekanan dengan melakukan birdie di tiga daripada enam lubang terakhir.
"Saya bersyukur ada Ben untuk bantu tenangkan saya hari ini," kata Novak. "Lepas hujan tadi, permainan saya hampir kucar-kacir, tapi Ben main sangat cemerlang. Kami bertahan sampai ke hujung. Putt di lubang 17 tu betul-betul luar biasa."
Novak turut mencipta sejarah menjadi pemain pertama yang tewas dalam playoff PGA Tour satu minggu kepada Justin Thomas di Kejohanan Heritage dan bangkit memenangi kejohanan pada minggu berikutnya sejak Patrick Cantlay melakukannya pada tahun 2022.
Novak dan Griffin bermula dengan bogey dan birdie, sebelum menambah birdie di lubang kelima dan ketujuh par-lima sebelum ribut melanda ketika mereka mendahului dengan tiga pukulan.
Sementara itu, penyandang juara, Rory McIlroy dan Shane Lowry, yang berusaha menjadi pasangan pertama memenangi Zurich Classic dua tahun berturut-turut, sekadar berkongsi tempat ke-12 dengan catatan 266 selepas menutup pusingan dengan 72 pukulan.
McIlroy, yang baru sahaja melengkapkan Grand Slam kerjaya selepas menjuarai Masters dua minggu lalu, kini merancang untuk berehat menjelang Kejohanan PGA di Quail Hollow bulan depan, lapangan di mana beliau pernah meraih empat kemenangan.
"Saya perlu mengambil sedikit masa untuk berehat," kata McIlroy. "Adalah baik juga untuk mempunyai tempoh seminggu bagi menyusun semula fokus dan kembali menjalani latihan secara berperingkat. Saya memang bercadang untuk merehatkan badan terlebih dahulu sebelum bersedia untuk kembali beraksi."-AFP