NEW JERSEY, 9 Julai - Pengurus Paris St Germain Luis Enrique enggan membuat perbandingan antara skuadnya dengan Real Madrid menjelang pertembungan separuh akhir Piala Dunia Kelab pada Rabu.
Enrique pada sidang media ditanya sama ada PSG adalah pasukan yang lebih baik sekarang tanpa Kylian Mbappe berbanding ketika mereka mempunyai kapten Perancis itu sebelum perpindahan percuma ke Real Madrid tahun lepas.
Jurulatih Sepanyol itu mengakui bahawa berdepan dengan bekas pemainnya menambah kemeriahan pertemuan itu.
“Ini adalah soalan mengenai masa lalu dan saya di sini bukan untuk bercakap tentang masa lalu, saya hanya memikirkan masa depan.
"Bermain menentang pasukan paling berjaya di dunia menjadi motivasi tambahan." katanya.
PSG sekali lagi perlu berdepan dengan keadaan cuaca mencabar di New Jersey dengan sepak mula dalam keadaan panas terik selepas suhu pada separuh akhir Selasa antara Chelsea dan Fluminense melonjak melepasi 35 darjah Celsius (95 darjah Fahrenheit).
"Kami sudah membiasakannya. Bermain dalam keadaan ini, kerana itu sudah menjadi kebiasaan semasa Piala Dunia, ia akan berjalan seperti biasa.
"Beraksi menentang Real Madrid akan menjadi perlawanan istimewa, tidak syak lagi mengenainya. Pada masa yang sama, kami suka bermain permainan sebegini kerana ia bermakna anda telah melakukan tugas anda dengan baik dan anda berada dalam kedudukan untuk bermain di separuh akhir," kata Luis Enrique.
Pemenang akan menentang Chelsea pada perlawanan akhir Ahad ini, selepas pasukan Liga Perdana Inggeris itu mengesahkan tempat mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Fluminense pada Selasa, hasil jaringan pendatang baru Joao Pedro.-REUTERS