PUTRAJAYA, 9 Julai - Selepas lebih sedekad, penganjuran Hari Sukan Negara 2025 (HSN 2025) buat julung kalinya bakal diadakan di luar Lembah Klang dengan Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak dipilih sebagai lokasi utama penganjuran.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata lokasi itu dipilih susulan sambutan yang menggalakkan di peringkat negeri Perak tahun lepas.
Beliau berkata HSN 2025 bakal berlangsung selama tiga hari, bermula 10 hingga 12 Okt ini, dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau ikut pengalaman penganjuran contohnya HSN peringkat negeri Perak tahun lepas, contohnya di Ipoh tu antara yang paling tinggi kehadiran.
“Jadi, sebab itu kita harap bahawa bila kita bawa peringkat kebangsaan, ia akan menarik lebih ramai lagi penyertaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Praperasmian Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) dan Prapeluncuran KBS Masters Games 2025 hari ini.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan KBS Masters Games 2025, beliau berkata kejohanan itu akan diteruskan selari dengan usaha memperluas keterangkuman dalam sukan, selain memberi ruang kepada rakyat Malaysia berusia 40 hingga 60 tahun untuk terus bergiat aktif dalam sukan secara sukarela dan kompetitif.
“Untuk tahun ini ada peningkatan dari jumlah jenis sukan dipertandingkan dari 12 ke 19. Kita perkenalkan lebih banyak sukan supaya lebih ramai masyarakat menceburi bidang sukan,” katanya yang turut menyasarkan penyertaan lebih 5,000 peserta bagi edisi kedua itu.
Antara sukan yang dipertandingkan bagi KBS Masters 2025 termasuklah akuatik, badminton, olahraga master dan pickleball.- BERNAMA