fb fb fb fb fb

Batrisyia dan Ngo Yi Belle sama hebat, Connor Liew Pintas kedudukan pendahulu hari kedua Kejohanan Golf 100PLUS Srixon

Connor Liew Axel Kai

SUBANG, 9 Julai – Dua pemain kategori Perempuan A (GA) Ngo Yi Belle dan Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani masih belum mengalah apabila terus berkongsi kedudukan selaku pendahulu Kejohanan Golf 100PLUS Srixon Jelajah Pembangunan Malaysia Sirkit Ketiga selepas tamat pusingan kedua hari ini yang berlangsung di Kelab Golf Glenmarie, (GGCC), Subang, Selangor.

Kedua-dua pemain menutup hari kedua dengan 71 pukulan, 1 di bawah par sekali gus mengumpul catatan par 144 pukulan keseluruhan selepas tamat dua pusingan.

Bagi Batrisyia, dia hanya menumpukan permainan sendiri dan tidak terlalu memikirkan tentang kedudukan lawan terutama Ngo Yi Belle walaupun bermain dalam satu flight.

“Pukulan saya sepanjang hari ini masih terkawal dan berada di green berbanding hari pertama kerana masih gagal untuk menyesuaikan diri. Saya tidak terlalu memikirkan permainan orang lain dan hanya menumpukan kepada permainan sendiri,” kata Batrisyia.

Sementara Ngo Yi Belle, meskipun baharu pulang dari sirkit kedua yang berlangsung di Miri, Sarawak penghujung Jun lalu, momentumnya masih di tahap terbaik dan berharap untuk terus kekal konsisten sehingga hari terakhir.

“Gembira dapat bermain dengan rakan-rakan dan satu perlawanan yang sengit dengan Batrisyia termasuk semalam (pusingan pertama). Saya juga dapat kenalan baharu dan bertemu dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu.

“Walaupun lebih satu minggu selepas bermain di Miri, ia pengalaman yang menyeronokkan dan saya bersaing dan tewas kepada Jamie Tan Huang Yin. Cuaca di sana lebih panas berbanding di sini.

“Sasaran saya di sini adalah untuk memecahkan rekod peribadi iaitu 70 pukulan dan hampir berjaya pada hari ini tetapi ketika di sembilan lubang kedua, saya banyak melakukan kesilapan,” kata Ngo Yi Belle.

Dua pemain, Dalia Tang Imran dan Aarthi Gaesan turut berkongsi kedudukan kedua selepas mengumpul 152 pukulan 8 di atas par.

Saingan bagi kategori lelaki A (BA) menyaksikan pemenang sirkit kedua di Miri, Connor Liew Axel Kai memintas kedudukan selaku pendahulu selepas bermain 36 lubang.

Connor menutup hari kedua dengan catatan 73 pukulan 1 di atas par untuk catatan terkumpul selepas dua pusingan 145 pukulan, 1 di atas par.

Pendahulu hari pertama, Khor Edrik dan Muhammad Izzul Irfan Md Zaini berkongsi kedudukan kedua dengan catatan keseluruhan 147 pukulan 3 di atas par.

Kategori Lelaki B (BB) turut menyaksikan perubahan pendahulu yang kini di pegang Muhd Afham Othman yang mengumpul 152 pukulan , 8 di atas par manakala Perempuan B (GB) masih kekal menjadi miliki Wang Enxi dari China yang mencatat 146 pukulan 2 di atas par selepas tamat dua pusingan.

Sebanyak 40 pemain golf remaja berpeluang untuk memburu slot beraksi dengan pemain pemain remaja dari serata dunia di Grand Finale Golf Remaja Antarabangsa tahun ini yang dijadual berlangsung di Kelab Golf Kota Permai, Kota Damansara pada Oktober depan.

Tiga sirkit dipertandingkan untuk mengenal pasti 40 pemain dimana Sirkit Pertama telah berlangsung di Kelab Golf Templer, Rawang dari 6 hingga 8 Jun lalu.

Manakala sirkit kedua berlangsung pada 24 hingga 26 Jun lepas di Kelab Golf Eastwood Valley,Miri, Sarawak dan sirkit ketiga berlangsung di Kelab Golf Glenmarie, Subang.

AZRUL FAIZAL JUSOH