fb fb fb fb fb

Menang atau tidak, bola sepak Perancis ukir sejarah tersendiri-Henry

Ketua jurulatih Perancis, Thierry Henry/ Foto REUTERS

PARIS, 9 Ogos-Ketua jurulatih Perancis, Thierry Henry menjelaskan menang atau tidak menentang Sepanyol pada final Olimpik pada Sabtu bukan sesuatu yang penting.

Sebaliknya, kejayaan Perancis mara ke final dianggap sebagai kejayaan terbesar pasukan berkenaan yang kali terakhir meraih pingat emas pada Olimpik Los Angeles 1984, kata Henry pada Khamis.

Henry berkata dia mengalami kesukaran bagi membentuk skuad terbaik selepas permintaannya bagi mendapatkan pemain ditolak oleh beberapa kelab sebelum ini.

"Pertandingan ini adalah sesuatu yang istimewa kerana anda tidak berfikir bagi menamatkan kedudukan di tempat kedua,ketiga atau memenangi pingat.

"Jadi, mara ke final adalah cerita kejayaan.Mari kita lakukan yang terbaik", kata Henry selepas pasukannya mara ke final selepas menumpaskan Mesir 3-1 pada aksi separuh akhir Selasa lepas.

Henry, yang karier kejurulatihannya bermula dengan perlahan, bergantung harap kepada pasukan yang mempunyai motivasi tinggi, dengan merujuk kepada ketua pasukan Perancis,Michael Olise yang dilahirkan di London.

"Lupakan tentang permainan dan apa yang dia boleh lakukan.

"Apa yang penting bagi saya ialah keinginannya bermain untuk Perancis. Ini membuatkan saya berasa terharu. Dia boleh ke Euro bersama England tetapi memilih untuk bermain untuk Perancis," kata Henry.

Kini semua mata tertumpu kepada Henry yang telah menjulang Piala Dunia dan Piala Eropah bersama skuad 'The Bleus' ketika bergelar sebagai pemain.

Namun, perkara tersebut bukanlah perkara yang paling penting bagi Henry, yang mengalami detik emosi semasa sidang akhbar berlangsung.

"Adakah saya pernah terfikir bahawa saya akan menjadi sebahagian daripada pasukan Olimpik? Tidak pernah.

"Saya akan beritahu anda mengapa ia berbeza bagi saya," katanya.

"Keluarga saya tidak pernah menyaksikan saya beraksi.

"Apabila saya mengatakan beraksi, anda faham maksud saya, tentunya saya tidak beraksi sebagai pemain", ujarnya.

"Anak-anak saya tidak pernah melihat saya beraksi sebagai pemain di stadium.

"Saya hanya mempunyai anak ketika karier saya sebagai pemain berada di penghujung. Mungkin itu perkara yang kurang dalam hidup saya", tambahnya.

Henry kini berharap anak-anak buahnya akan lebih merasai suasana Olimpik kerana akan bermain dalam perlawanan pertama mereka di sini sejak sukan bola sepak lelaki itu bermula di Bordeaux.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD