fb fb fb fb fb

Memori rangkul Perak di Olimpik Rio, bakar semangat Liu Ying lahirkan pelapis baharu

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 30 Januari-Bergelar seorang atlet badminton profesional bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi menjadi harapan kepada seluruh rakyat Malaysia

Bekas pemain badminton beregu campuran negara, Goh Liu Ying berkata, tiada jalan pintas untuk berjaya, namun kecekalan mengharungi pelbagai dugaan adalah amat penting.

Tambah Liu Ying, kejayaan mendapat pingat perak pada Sukan Olimpik Rio, Brazil 2016 adalah detik yang tidak dapat dilupakan sepanjang 14 tahun bergelar pemain badminton profesional.

"Saya rasa berdiri di podium Olimpik adalah detik terindah. Sebab itu merupakan impian semua atlet. Saya tidak menyangka saya mampu melakukannya", ujarnya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri pagi tadi.

Menurutnya, kejayaan itu menjadi hadiah buat bapanya yang mengimpikan untuk melihat Liu Ying berjaya di peringkat antarabangsa, khususnya di kejohanan Olimpik yang cukup berprestij.

Dalam pada itu, Atlet kelahiran Melaka ini turut merancang menganjur beberapa siri kejohanan bagi mencungkil bakat baharu sebagai pelapis pemain profesional negara.

Untuk rekod, Goh Liu Ying mencipta sejarah buat negara apabila berjaya memenangi pingat perak pada temasya Olimpik di Rio De Janeiro 2016 bersama Chan Peng Soon dalam acara beregu campuran setelah tewas kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir pada aksi final.

(Bekas Pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying/FOTO RTM)

Media Baharu