fb fb fb fb fb

Melaka tidak 'goyah' jumpa Skuad Penyu, pertaruh import baharu

Pemain Melaka FC menjalani latihan di UiTM Alor Gajah, Melaka /FOTO BERNAMA

ALOR GAJAH, 21 November - Melaka FC sedia beraksi menentang Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan Piala Malaysia, Sabtu ini.

Jurulatihnya, K. Devan berkata, momentum pasukan berada dalam keadaan terbaik dan mengharapkan anak buahnya tampil yakin ketika melayan kunjungan Skuad Penyu itu nanti di Stadium Hang Jebat.

Meskipun TFC memiliki nama besar dalam barisan utama, namun Devan menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi demi mengumpul pengalaman.

"Pengalaman bermain sudah tentu memberi kelebihan kepada TFC dan saya anggap kita (Melaka FC) sebagai underdog.

"Saya rasa bermain di tempat sendiri dan semangat tinggi daripada pemain serta peluang beraksi bersama pasukan elit membantu sedikit sebanyak kepada kami," katanya pada sesi latihan di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Alor Gajah, Melaka.

Tambahnya, tiada tekanan kepada pasukan kerana pertemuan itu disifatkan sebagai medan menyerlahkan potensi dan kualiti sebenar pemain.

Sementara itu, kapten pasukan Mohamad Nasir Basharudin menyatakan, kehadiran dua pemain import baharu sedikit sebanyak membantu pasukan memantapkan persembahan.

Dia mengakui Terengganu dibarisi pemain yang lebih baik dilengkapi import berpengalaman, namun tiada apa yang mustahil dan dia yakin kemampuan rakan sepasukan untuk memberi saingan sengit.

Trainee