MELAKA, 7 Disember - Melaka FC (MFC) tampil dengan aksi luar biasa selepas berjaya mencatat kemenangan sulung Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 malam tadi di Stadium Hang Jebat, Krubong.
Keputusan terbabit dibantu kecemerlangan penyerang import dari Brazil, Juan Douglas yang meledak dua jaringan untuk membenam hasrat NSFC yang mengintai kemenangan.
Mata pertama Skuad Hang Tuah, hasil jaringan Douglas seawal minit ketiga menewaskan penjaga gol pelawat Mohd Azri Ghani.
Jaringan terhasil selepas sepakan gol Azri menuju tepat ke arah Douglas membolehkan penyerang terbabit melarikan bola ke dalam kotak penalti sekali gus menolak masuk jaringan pertama mendahului pelawat
Skuad Hobin Jang Hobin terus membuat asakan namun sekali lagi dikejutkan dengan kesungguhan tuan rumah untuk memastikan mereka meraih mata maksimum selepas Douglas sekali lagi meledak jaringan kedua peribadinya menewaskan Azri buat kali kedua.
Gol pada minit ke-26 terbabit tercipta selepas hantaran jauh Umar Haqeem disambut Douglas bagi membolehkan tuan rumah selesa mendahului sebelum memasuki babak kedua perlawanan.
Di Babak kedua, pelawat mula menukar rentak namun percubaan Jovan Motika pada minit ke- 48 sekadar terkena tiang kanan MFC ketika penjaga gol Aiman Haziq sudah tertewas.
Keputusan terbabit manamatkan penantian ketua jurulatih MFC, Datuk K Devan yang sabar menanti kemenangan pertama pada aksi kesembilan perlawanan dengan lebih manis tiga mata pertama diperolehi melonjak kedudukan pasukan itu ke tangga ke-10 liga.