fb fb fb fb fb

Aston Villa tamatkan rekod tanpa kalah Arsenal, menang 2-1

Foto AFP

LONDON, 7 Disember- Aston Villa menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal yang berlangsung 18 perlawanan sekali gus menghangatkan perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 2-1, manakala Manchester City memanfaatkan situasi itu dengan menewaskan Sunderland 3-0 untuk merapatkan jurang kepada dua mata, aksi yang berlangsung pada Sabtu.

Dalam masa Arsenal dan City terus bersaing rapat di puncak liga, juara bertahan Liverpool pula terus bergelut apabila Leeds mencuri satu mata menerusi keputusan seri 3-3 pada saat akhir, antara aksi paling dramatik musim ini.

Di Villa Park, jaringan masa kecederaan Emiliano Buendia mengejutkan Arsenal dan menghadiahkan kemenangan kesembilan dalam 10 perlawanan liga kepada skuad kendalian Unai Emery.

“Kami terus menekan dan benar-benar percaya pada kemenangan kami.

Kami teruskan hingga detik terakhir dan kami dapatkannya,” kata Emery.

Arsenal turun tanpa tonggak pertahanan Gabriel Magalhaes, William Saliba dan Cristhian Mosquera dan ketiadaan itu jelas dirasai apabila mereka bergelut mengekang variasi serangan Villa.

Gol pembukaan Villa hadir apabila Eberechi Eze gagal menutup ruang sebelum Matty Cash meledak gol untuk menjadikan tuan rumah mendahului pada separuh masa pertama.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memasukkan Viktor Gyokeres dan Leandro Trossard pada babak kedua dan perubahan itu terus membuahkan hasil.

Trossard meledak gol ke-50 Liga Perdana selepas menyudahkan hantaran lintang Bukayo Saka yang tertampan.

Namun, impian Arsenal untuk menamatkan penantian 22 tahun menjulang trofi liga tergelincir pada detik terakhir apabila Buendia merembat bola ke penjuru atas gol selepas kekalutan di depan gawang.

“Kalah dengan cara begitu pada tendangan terakhir memang perit dan mengecewakan,” kata Arteta. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM