FUKUOKA, 30 Julai - Perenang Lithuania, Ruta Meilutyte mencipta rekod dunia baharu bagi acara 50 meter (m) kuak dada wanita ketika meraih pingat emas di Kejohanan Akuatik Dunia, hari ini.
Ruta mencatat masa 29.16 saat (s) untuk mengatasi perenang Amerika Syarikat (AS), Lilly King (29.94s) dan perenang Itali, Benedetta Pilato (30.04s).
Semalam, Ruta menyamai rekod dunia di peringkat separuh akhir acara itu dengan catatan 29.30s.
"Saya dapat merasakan bahawa saya pasti berjaya melakukannya. Saya menikmati peningkatan sepanjang masa," katanya.
Ruta bersara pada 2019 ketika berusia 22 tahun selepas digantung dua tahun kerana tidak hadir tiga ujian doping menyebabkannya tidak dapat beraksi di Sukan Olimpik Tokyo sebelum kembali bertanding pada 2021.
Ruta yang tidak pernah gagal ujian itu merupakan bintang pada temasya Olimpik London 2012 apabila dia yang ketika itu berusia 15 tahun memenangi emas acara 100m kuak dada wanita.-AFP