fb fb fb fb fb

MBPJ anjur Kejohanan Badminton Berpasukan Piala Datuk Bandar

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon

PETALING JAYA, 2 Ogos- Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal menganjurkan Kejohanan Badminton Berpasukan Piala Datuk Bandar Petaling Jaya 2025, bermula 29 hingga 31 Ogos ini.

Program dengan kerjasama Malaysian Indian Badminton Association (MIBA) itu bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan badminton.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, kejohanan julung kali ini dijangka menghimpunkan 192 pemain muda dan amatur dari seluruh negara, menerusi penyertaan sehingga 32 pasukan.

"Hadiah keseluruhan RM5,500 menanti para pemenang selain medal dan cenderahati. Johan akan menerima RM2,500 ringgit, naib johan RM1,500 manakala tempat ketiga masing masing RM750.

"MBPJ yakin kejohanan ini bukan sahaja memperkukuhkan peranan badminton sebagai sukan teras negara malah berupaya melahirkan generasi muda yang sihat, berdaya tahan, berdisplin dan menjujung semangat perpaduan dan kesukanan," katanya.

Setakat ini, 12 pasukan telah mengesahkan penyertaan, dengan permohonan masih dibuka sehingga 12 Ogos depan.

Antara kategori yang bakal dipertandingkan ialah perseorangan bawah 10, 13 dan 15 tahun, serta beregu lelaki amatur.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada beberapa syarikat korporat dan badan sukan, termasuk tajaan barangan, peralatan kejohanan serta sokongan teknikal siaran langsung sepanjang ia diadakan.

Kejohanan bakal berlangsung di Dewan D'Klana, Petaling Jaya.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello