PARIS, 18 November – Kylian Mbappe dan bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), kini berdepan dalam pertikaian kewangan di Mahkamah Buruh Paris, dengan kedua-dua pihak mengemukakan tuntutan bernilai ratusan juta euro, lapor L’Equipe.
Mbappe menuntut lebih 260 juta euro, termasuk 55 juta euro gaji tertunggak yang didakwa berpunca daripada pertikaian kontrak, layanan tidak sewajarnya serta dakwaan gangguan psikologi oleh kelab juara Eropah itu.
PSG pula mengemukakan tuntutan balas kira-kira 240 juta euro, mendakwa kerugian akibat kegagalan perpindahan bernilai 300 juta euro ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal pada 2023, perpindahan yang mencetuskan ketegangan sehingga memburukkan hubungan kedua-dua pihak.
Namun, peguam Mbappe menegaskan tawaran Al-Hilal itu tidak pernah dikemukakan kepada pemain berusia 26 tahun itu.
Konflik antara Mbappe dan PSG bermula pada Julai 2023 selepas beliau enggan menandatangani lanjutan kontrak.
Keengganan itu menyebabkan beliau disisihkan daripada jelajah pramusim di Asia dan terlepas aksi pertama liga, sebelum akhirnya kembali ke skuad.
PSG mendakwa penyenaraiannya semula dibuat selepas Mbappe bersetuju melepaskan sebahagian pembayaran akhir kontraknya demi kestabilan kewangan kelab.
Mbappe meninggalkan PSG untuk menyertai Real Madrid secara perpindahan percuma pada Jun 2024. -REUTERS