fb fb fb fb fb

Bekas pemain dan jurulatih hoki kebangsaan K. Rajan meninggal dunia

FOTO FACEBOOK MALAYSIAN HOCKEY CONFEDERATION

KUALA LUMPUR, 17 November - Bekas pemain dan jurulatih hoki kebangsaan, K. Rajan meninggal dunia pada usia 68 tahun di kediamannya di Ipoh, Perak, pagi tadi.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan Rajan sebagai tokoh yang banyak menabur jasa kepada pembangunan sukan hoki negara.

"Mendiang K. Rajan, 68 tahun merupakan bekas pemain kebangsaan dan bekas Jurulatih Pasukan Remaja Lelaki Kebangsaan, telah banyak menabur khidmat bakti kepada sukan hoki di Malaysia termasuk pembangunan hoki di peringkat negeri.

"Jasa Mendiang K. Rajan yang sangat mencintai sukan hoki sehingga hujung usianya dan keluarga beliau akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh KHM", maklum kenyataan berkenaan.

Mendiang pernah mewakili Malaysia pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur dan Sukan SEA 1979 di Jakarta, selain beraksi di peringkat negeri bersama Perak (1975–1980), Selangor (1981) dan Kuala Lumpur (1982–1987).

Beliau kemudian menjadi jurulatih dan membantu Kuala Lumpur merangkul enam gelaran Piala Tun Razak antara 1992 hingga 2002, selain pernah membimbing Terengganu pada 2021 dan pasukan Perak pada 2023.

Beliau turut pernah dilantik sebagai jurulatih kebangsaan pasukan hoki Singapura pada 2016.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD