fb fb fb fb fb

MAS siasat segera dakwaan Pandelela

Setiausaha Agung MAS, Andy Low

KUALA LUMPUR, 16 Februari - Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan menyiasat dakwaan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berkenaan gangguan yang menjejaskan prestasinya di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata beliau telah berjumpa dan mendapatkan penjelasan daripada atlet berusia 30 tahun itu.

Namun, Andy enggan mengulas lanjut sehingga siasatan selesai serta mendapatkan pengesahan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN).

"Gangguan itu tidak banyaklah, mungkin kami akan memberitahu anda pada sidang media seterusnya, kami akan siasat dahulu, biar kami selesaikan penyiasatan kami dahulu kemudian kami akan memberitahu anda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pascanilai kegagalan skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, di sini.

Kejohanan Dunia itu merupakan sesi kelayakan terakhir untuk Olimpik Paris 2024 menyaksikan tiada penerjun negara mengesahkan tiket ke Paris 2024.

Ini sekali gus menjadikan Betrand Rhodict Lises wakil tunggal negara selepas layak di Kejohanan Dunia Fukuoka tahun lepas di kolam terjun Paris 2024.

Dalam perkembangan yang lain, Andy berkata MAS akan memperketatkan pemilihan atlet ke kejohanan antarabangsa dengan menetapkan mata kelayakan yang perlu dicapai.

"Kita hormati keputusan atlet untuk terus bertanding, namun perlu ada kemajuan untuk capai mata kelayakan sebab kita ada QMS score dalam kejohanan-kejohanan akan datang dan kami akan melakukan pemilihan di sana," katanya.

Andy turut mengakui prestasi Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri masih setara dan tidak begitu mengagumkan sejak Sukan Komanwel Birmingham 2022.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN