fb fb fb fb fb

Klinsmann sah dipecat KFA

Foto AFP

SEOUL, 16 Februari- Jurgen Klinsmann sah dipecat sebagai jurulatih Korea Selatan pada Jumaat.

Keputusan itu susulan kekalahan kepada Jordan pada pusingan separuh akhir Piala Asia 2024, termasuk pendedahan mengenai pergaduhan antara pemain bintang.

Perkara tersebut diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA), Chung Mong-gyu.

"KFA telah memutuskan untuk menukar ketua jurulatih kebangsaan berikutan semakan menyeluruh."

"Klinsmann telah gagal mempamerkan keupayaan pengurusan dan kepimpinan yang diharapkan daripada ketua jurulatih kebangsaan merangkumi aspek taktikal, pengurusan kakitangan dan lain-lain yang diperlukan untuk membawa daya saing kepada pasukan."

"Sikap dan daya saing Klinsmann sebagai ketua jurulatih telah meleset daripada jangkaan orang ramai dan telah dipersetujui bahawa ini tidak akan diperbaiki pada masa hadapan. Jadi, kami telah memutuskan untuk menukar kepimpinan menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026," kata Mong-gyu kepada AFP.

Bekas penyerang Jerman berusia 59 tahun itu yang juga pemenang Piala Dunia sebagai pemain, hanya menggalas jawatan itu kurang daripada setahun.

Sementara itu, Klinsmann bagaimanapun menulis ciapan di media sosialnya, mengucapkan terima kasih di atas sokongan sepanjang perjalanannya bergelar jurulatih di Korea Selatan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM