fb fb fb fb fb

Marquez ungguli kelayakan GP Jerman, raih petak utama ke-101

Pelumba Ducati, Marc Marquez / Foto REUTERS

JERMAN, 12 Julai - Pelumba Ducati, Marc Marquez meraih petak utama ketujuh musim ini selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan Grand Prix (GP) Jerman yang berlangsung di atas litar basah, pada Sabtu.

Sesi kelayakan di Litar Sachsenring itu menyaksikan beberapa pelumba terjatuh akibat permukaan licin namun Marquez dan pelumba LCR Honda, Johann Zarco mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menguasai perebutan petak utama.

Maverick Vinales dan Jack Miller mengalami kemalangan 'highside' di selekoh empat manakala Marquez turut berdepan detik mencemaskan apabila motosikal Ducati yang ditunggangnya hampir terjatuh selepas tergelincir namun berjaya dikawal semula.

"Saya semakin selesa dan sudah pun hampir terjatuh di selekoh 11. Apabila melintasi garisan penamat dengan catatan 1 minit 28.0 saat, saya berkata pada diri, 'Baiklah, tarik nafas, tenang, sasaran sudah tercapai,' iaitu sekurang-kurangnya barisan depan.

Saya sangka sudah cukup, tapi kemudian nampak masa pelumba kedua semakin hampir. Jadi saya meneruskan usaha saya sedikit lagi kerana rasa saya mampu melakukannya," kata Marquez.

Zarco yang terpaksa bermula dari sesi kelayakan pertama hampir menafikan Marquez daripada meraih petak utama ke-101 dalam kariernya selepas mencatat masa lebih pantas pada awal pusingan namun gagal mengekalkannya apabila kehilangan masa di sektor terakhir.

Bagaimanapun, Marquez memastikan kedudukan selaku pelumba terpantas selepas mencatat satu lagi pusingan terbaik di penghujung sesi dengan masa 1 minit 27.811 saat. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE