fb fb fb fb fb

Dua putera Johor teruskan saingan ke-2 GT World Challenge Asia di Jepun

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bersama rakan sepasukan, Jordan Love berjaya mencatat podium pertama musim ini dengan meraih tempat ketiga dalam perlumbaan GT World Challenge Asia yang berlangsung di Litar Fuji Speedway, Jepun, pada Sabtu.

Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim pula yang bergandingan dengan Ben Green menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan pemanduan konsisten.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyaksikan perlumbaan tersebut.

Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain serta Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengikuti perlumbaan dari ibu negara bersyukur atas kejayaan anakanda bongsu baginda.

“Saya bersyukur Tunku Putera berjaya mendapat keputusan yang baik kali ini dan berharap dia dan abangnya (Tunku Panglima) akan terus memberikan saingan sengit pada perlumbaan kedua esok,” titah baginda menerusi Facebook rasmi.

Perlumbaan kedua esok boleh ditonton secara langsung di YouTube GT World bermula pukul 10.15 pagi waktu Malaysia.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE