KUALA LUMPUR, 12 Julai - Bekas pemain tenis negara, Adam Jaya diumumkan sebagai kapten pasukan Piala Davis Malaysia menjelang saingan Kumpulan IV Asia-Oceania yang dijadual berlangsung di Pusat Tenis Kebangsaan (NTC) bermula 16 hingga 19 Julai depan.
Pelantikan tersebut dibuat selepas ketua jurulatih skuad tenis negara, Mulyadi Jamal mengambil keputusan untuk tidak meletakkan beban ke atas pemain utama tenis negara, Koay Hao Sheng yang sebelum ini menggalas peranan sebagai kapten pemain.
"Pada awalnya memang ada perancangan untuk melantik Hao Sheng sebagai kapten tetapi kami tidak mahu membebankan beliau kerana dia juga merupakan pemain utama pasukan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
"Kami perlukan Hao Sheng untuk kekal fokus sebagai pemain, memandangkan beliau mungkin akan diturunkan dalam acara perseorangan dan beregu.
Atas sebab itu, selepas berbincang dengan jawatankuasa Tennis Malaysia (TM), kami mengambil keputusan untuk membawa masuk Adam."
Mulyadi menjelaskan, beliau seorang yang mempunyai pengalaman dan pernah mengetuai pasukan negara dalam saingan Billie Jean King Cup serta Davis Cup sebanyak tujuah atau lapan kali sebelum ini.
Malaysia yang pertama kali beraksi dalam Kumpulan IV selepas tersingkir dari Kumpulan III tahun lalu, tampil sebagai pilihan utama bagi kejohanan kali ini.
Pasukan Pacific Oceania pula disenaraikan sebagai pilihan kedua manakala pasukan lain yang turut bersaing ialah Iraq, Kuwait, Kyrgyzstan, Nepal, Qatar dan Filipina.