EAST RUTHERFORD, 14 Julai - Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca menegaskan bahawa memenangi Piala Dunia Kelab sama pentingnya dengan memenangi Liga Juara selepas pasukannya menewaskan Paris Saint-Germain 3-0 dalam perlawanan akhir edisi pertama pertandingan baharu FIFA pada hari Ahad.
“Saya merasakan bahawa pertandingan ini akan menjadi sama penting, jika tidak lebih penting daripada, Liga Juara.”
“Saya bernasib baik kerana menjadi sebahagian daripada pasukan kejurulatihan yang memenangi Liga Juara-Juara beberapa tahun lalu, tetapi pertandingan ini melibatkan pasukan-pasukan terbaik dunia dan saya rasa kita boleh meletakkannya setaraf," kata jurulatih dari Itali itu.
“Ia adalah satu kejayaan besar buat kami dan ia akan membolehkan penyokong Chelsea melihat lambang kejuaraan ini pada jersi kami untuk empat tahun akan datang, jadi ia merupakan satu kebanggaan.” kata Maresca selepas menambah trofi ini kepada kejuaraan Liga Persidangan UEFA yang dimenangi pasukannya pada bulan Mei.
Maresca berkata beliau mengarahkan para pemainnya untuk menyerang PSG sejak awal permainan dan mereka berjaya menjaringkan ketiga-tiga gol dalam separuh masa pertama dengan Cole Palmer menjaringkan dua gol sebelum Joao Pedro turut mencatat nama sebagai penjaring.
“Pesanan saya adalah untuk memastikan mereka faham bahawa kami datang untuk menang dan saya rasa dalam 10 minit pertama kami telah tunjukkan perkara itu,”
“Itulah yang menetapkan rentak permainan, dan kemudian kualiti para pemain turut memainkan peranan penting.” kata Maresca.
Maresca hanya mengambil alih Chelsea setahun lalu tetapi sebelum itu beliau pernah menjadi kakitangan kejurulatihan di bawah Pep Guardiola di Manchester City ketika mereka memenangi Liga Juara pada tahun 2023.
Pemain antarabangsa England, Palmer dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan dua gol dan membantu gol Joao Pedro.
Pemain berusia 23 tahun itu membuktikan status bintang dengan wajahnya terpampang di papan iklan di sekitar New York untuk mempromosikan kejohanan ini, bersama bintang Real Madrid, Kylian Mbappe dan Vinicius Junior.
“Menjaringkan gol memang satu perasaan yang luar biasa, sama seperti cara pasukan menunjukkan semangat di atas padang pelan permainan jurulatih sangat tepat,” katanya.
“Saya hanya cuba lakukan tugas saya setiap kali turun ke padang dan harapnya saya akan terus beraksi dengan baik.
“Saya telah melihat papan iklan di Times Square dan di luar Madison Square Garden dan sudah tentu ia satu perasaan yang membanggakan apabila berada sebaris dengan pemain-pemain tersebut,” tambah Palmer.-AFP