EAST RUTHERFORD,14 Julai - Pengurus Paris St Germain, Luis Enrique cuba meredakan insiden tolak-menolak dengan penyerang Chelsea, Joao Pedro, dalam kejadian hampir tercetus pergaduhan antara pemain dan barisan kejurulatihan selepas kemenangan Chelsea 3-0 dalam aksi akhir Piala Dunia Kelab pada Ahad.
Insiden tercetus apabila penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma, bertekak dengan Joao Pedro sebelum Luis Enrique dilihat mengangkat tangannya ke muka pemain Brazil itu.
Joao Pedro terjatuh ke tanah dan pengurus PSG itu kemudiannya dibawa keluar dari padang.
"Pada penghujung perlawanan, berlaku satu situasi yang saya percaya boleh dielakkan oleh semua pihak.
"Matlamat dan niat saya, seperti biasa, adalah untuk menenangkan para pemain supaya tiada lagi masalah berlaku. Secara dalaman, memang wujud ketegangan dan tekanan yang tinggi." kata Luis Enrique dalam sidang media selepas perlawanan.
Namun apabila menyentuh tentang perlawanan itu, beliau kelihatan buntu selepas kekalahan teruk kepada Chelsea dalam pertembungan antara dua kelab terkaya dan paling berkuasa di Eropah itu.
Perlawanan itu berlangsung penuh kejutan apabila pemain tengah Chelsea, Cole Palmer menjaringkan dua gol dalam tempoh lapan minit pada separuh masa pertama dan turut membantu Joao Pedro menjaringkan satu lagi gol sebelum rehat.
Peminat menjangkakan lebih aksi daripada juara Piala Eropah dan liga Perancis itu, sebelum ini kelihatan sukar dikalahkan selepas menundukkan Real Madrid 4-0 dalam peringkat separuh akhir kejohanan.
PSG menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Joao Neves dilayangkan kad merah pada minit ke-85 kerana kekasaran melampau.
"Bola sepak beginilah keadaannya, bukan semua boleh dijelaskan.
"Saya rasa mereka sebenarnya memulakan perlawanan dengan sangat baik, memberi tekanan tinggi dan kami membuatkan mereka bergelut. Selepas itu, saya rasa mereka mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, tetapi ia tidak menjadi." kata Luis Enrique.- REUTERS