QUITO, 14 Julai – Brazil memulakan usaha mereka untuk merangkul gelaran kesembilan Copa America Wanita dengan kemenangan 2-0 ke atas Venezuela pada hari Ahad di Quito.
Venezuela mencipta peluang awal yang lebih baik dengan Dayana Rodriguez melepaskan rembatan dari jarak jauh, namun tersasar, manakala Barbara Olivieri hampir menjaringkan gol selepas satu sepakan sudut.
Brazil memperoleh gol pendahuluan minit ke-30 apabila Amanda Gutierres menyudahkan gerakan tersusun bermula dengan hantaran lintang dari Isadora Haas kepada Giovana dan kemudian memberikan umpanan kepada penyerang itu untuk menjaringkan gol.
Juara bertahan itu mengesahkan kemenangan apabila Duda Sampaio menyempurnakan tandukan Giovana dua minit sebelum tamat perlawanan.
Kemenangan ini menjadikan rekod Brazil dalam kejohanan itu kepada 48 kemenangan, 1 seri dan 2 kekalahan daripada 51 perlawanan.
Ia juga merupakan kemenangan ketujuh berturut-turut mereka ke atas Venezuela dalam kejohanan ini.
Brazil akan menentang Bolivia pada Rabu manakala Venezuela akan berdepan Colombia dalam perlawanan Kumpulan B yang seterusnya.- REUTERS