fb fb fb fb fb

Penghormatan kepada 'juara' Jota di Preston

Foto AFP

LIVERPOOL, 14 Julai - Diogo Jota dipuji sebagai “seorang juara” pada Ahad oleh pengurus Liverpool, Arne Slot, ketika The Reds kembali ke padang buat kali pertama sejak kematian pemain Portugal itu, menewaskan Preston 3-1 dalam perlawanan persahabatan pramusim.

Jota, bapa kepada tiga anak, meninggal dunia bersama adiknya, Andre Silva pada 3 Julai, sebelas hari selepas berkahwin dengan pasangan lamanya, Rute Cardoso, selepas kereta mereka terbabas dan terbakar di utara Sepanyol.

Lagu tema Liverpool “You’ll Never Walk Alone” dimainkan sebelum sepak mula di Deepdale, dan kapten Preston, Ben Whiteman, meletakkan kalungan bunga di hadapan penyokong pelawat.

Bertafakur selama seminit diadakan dan kedua-dua pasukan memakai lilitan lengan hitam sebagai tanda berkabung.

Jota merupakan sebahagian daripada pasukan Liverpool yang memenangi Liga Perdana Inggeris musim lalu dan dalam perlawanan terakhirnya, memenangi Liga Negara-Negara bersama Portugal menentang Sepanyol pada bulan Jun.

“Saya rasa apa yang memberi saya sedikit ketenangan ialah dalam sebulan terakhir hidupnya, dia adalah juara dalam segala hal.

“Juara untuk keluarganya, yang paling penting, kerana dia telah berkahwin.

“Juara untuk negaranya kerana dia memenangi Liga Negara-Negara bersama negara yang sangat disayanginya, kerana dia juga membawa bendera ketika kami meraikannya.

“Dan tentunya juara untuk kami dengan memenangi Liga Perdana.” kata Slot dalam satu temu bual sebelum perlawanan.

Aksi seterusnya Liverpool adalah siri jelajah Asia, menentang AC Milan di Hong Kong pada 26 Julai dan kemudian menentang pasukan Jepun, Yokohama F. Marinos, empat hari selepas itu. -AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH